KUALA LUMPUR – Malaysia menyeru semua usahawan, pelabur dan penggiat inovasi diseluruh rantau ASEAN membentuk Gerakan OneASEAN SME sebagai platform memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting dalam membina ekosistem PKS ASEAN yang mampu bersaing di peringkat global.
Malah katanya, melalui gerakan itu juga, ia mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, memacu inovasi serta meningkatkan taraf hidup komuniti di seluruh rantau itu.
“Usaha serantau ini menghubungkan para usahawan, pelabur, dan inovator khususnya dalam sektor-sektor baharu yang sedang pesat berkembang seperti teknologi tinggi, perdagangan halal, dan perkhidmatan digital.
“Biar gerakan ini menjadi nadi kepada ekonomi serantau kita, pemangkin dalam memperkasa rakyat, mengukuhkan daya tahan sekali gus memacu ASEAN ke sempadan pertumbuhan yang seterusnya,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas Majlis Perasmian SME Ventures ASEAN 2025 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, ASEAN kini mempunyai 680 juta penduduk, merangkumi lebih 70 juta PKS yang menjadi tulang belakang ekonomi di rantau ini.
Menurut beliau, sektor tersebut menyumbang 44.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN dan 85 peratus kepada jumlah pekerjaan.
“Bagaimanapun, sumbangan PKS kepada eksport ASEAN masih rendah pada kadar 18 peratus, sekali gus mewujudkan ruang besar untuk diterokai.
“Platform seperti SME Venture @ASEAN 2025 bukan sekadar pameran, tetapi gerbang untuk usahawan menembusi pasaran serantau dan menyertai rantaian nilai global,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE