ALOR GAJAH – Dua daripada empat pelajar lelaki yang dipercayai terlibat kes merogol pelajar junior dan merakam perbuatan tidak senonoh itu di sebuah sekolah di sini akan didakwa di mahkamah pagi ini.
Menurut sumber, hanya dua suspek juvana berusia 17 tahun yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dituduh.
“Sebanyak enam pertuduhan akan dibuat di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol secara berkumpulan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 bagi perbuatan amang seksual fizikal.
“Dua suspek juvana itu masing-masing berdepan tiga pertuduhan yang memnbawa hukuman penjara tidak melebihi 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.
Kosmo! pada 11 Oktober lalu melaporkan empat pelajar tingkatan lima dipercayai terlibat dalam kejadian memperkosa pelajar perempuan tingkatan tiga secara bergilir-gilir di sebuah sekolah di Alor Gajah direman enam hari sehingga hari ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata, kesemua suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE