SEBERANG PERAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang memohon orang ramai melaporkan sebarang salah laku membabitkan manipulasi meter pam subsidi bersasar Budi Madani RON95 (Budi95).
Aduan rasmi perlu dikemukakan supaya laporan berkenaan dapat disiasat sebelum tindakan lanjut diambil.
Pengarahnya, S. Jegan walau bagaimanapun berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan gangguan sistem atau masalah pengisian minyak di mana-mana stesen minyak di negeri ini.
“Kalau benar ada berlaku perkara sedemikian, laporkan ikut saluran rasmi dan jangan tularkan kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah.
“Bukan mudah untuk menukar atau menyeleweng mekanisme meter pam minyak di stesen-stesen seperti yang didakwa malah sistem kalibrasi pam sentiasa disahkan pihak berkuasa,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan pengguna bahawa isian petrol mereka kurang daripada biasa sejak pelaksanaan Budi95.
Sabtu lalu, media melaporkan Menteri KPDN, Datuk Armizan Ali menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya terdapat unsur meragukan susulan penyasaran subsidi diesel dan petrol yang dilaksanakan bertujuan untuk mengekang ketirisan. – KOSMO! ONLINE