PETALING JAYA – Seorang bapa terpaksa menghantar tiga orang anaknya ke rumah anak yatim di Perak selepas bergelar duda dan berdepan kekangan kewangan.
Menerusi satu perkongsian di laman Facebook, lelaki berkenaan dilihat menitiskan air mata ketika mengucapkan selamat tinggal sambil memberi nasihat kepada anak-anaknya.
“Saya akan kembali ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan akan melawat kamu semua dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Dalam video tersebut, bapa berkenaan turut menasihati anak lelakinya untuk belajar bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita menjadi pegawai polis.
Difahamkan, lelaki itu bekerja sebagai pemandu lori menyebabkan dia tidak mampu menanggung kos penjagaan anak-anak di bangku sekolah.
Tinjauan Kosmo! mendapati tiga beradik itu kini ditempatkan di sebuah rumah kebajikan di Teluk Intan, Perak dan diterima baik daripada penjaga rumah tersebut tanpa dikenakan bayaran.
Perkongsian menyayat hati itu meraih perhatian ramai netizen yang meluahkan rasa simpati serta mendoakan agar lelaki tersebut dapat bersama semula keluarganya suatu hari nanti.
“Kalau berjiran dengan saya akan membantu menjaga mereka bertiga walaupun tidak berkongsi agama yang sama. Saya tak mahu mereka berpisah dengan adik-beradik,” kata Atif.
“Bagi saya, tidak sampai hati untuk melepaskan anak untuk ke rumah anak yatim. Biar aku berhempas pulas menyara dan menjaga anak aku tanpa ibunya selagi aku masih hidup dan sihat,” komen Las Unchul.
“Dia tinggalkan sekejap anaknya untuk bekerja demi menyara kehidupan. Mungkin tiada ahli keluarga lain mampu membantunya menjaga walaupun hanya sementara,” kata Hara Humaira. -KOSMO! ONLINE