KUALA LUMPUR – Sebanyak 47,854 kes penipuan dalam talian (scam) dengan jumlah kerugian RM1.919 bilion direkodkan setakat September lalu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, data itu berdasarkan statistik Polis Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.
“Jumlah kes meningkat sebanyak 12,486 berbanding 35,368 pada 2024 yang melibatkan kerugian RM1.574 bilion. Ini menggambarkan banyak jadi mangsa,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berhubung usaha memerangi jenayah penipuan dalam talian yang menunjukkan trend peningkatan.
Shamsul Anuar berkata, kerajaan sememangnya bertegas dan melaksanakan pelbagai langkah termasuk menguatkuasakan undang-undang bagi menangani jenayah itu.
Kata beliau, kerajaan malah meminda Kanun Keseksaan bagi memperkukuh tindakan terhadap kes jenayah siber khususnya penggunaan akaun keldai dengan peruntukan baharu Seksyen 424A hingga 424D.
Ujar beliau, peruntukan baharu Seksyen 424A hingga 424D tersebut memberikan kuasa kepada PDRM untuk menyiasat dan mendakwa individu terbabit.
Kata beliau, kerajaan turut meminda Kanun Tatacara Jenayah dengan menambah peruntukan yang membolehkan polis menyita akaun bank atau instrumen kewangan.
Jelas beliau, sitaan adalah terhadap akaun bank atau instrumen kewangan dipercayai digunakan dalam aktiviti jenayah sekali gus wang yang dicuri tidak dapat dipindahkan penjenayah.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan sedang menggubal Rang Undang-Undang berkaitan jenayah siber bagi memperkukuh kerangka perundangan negara dalam mendepani ancaman yang semakin kompleks. – KOSMO! ONLINE