fbpx
Charin Promwichit pada Majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen Ihsan Madani sempena Sambutan Deepavali 2025 di Penjara Pokok Sena, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

39 banduan Kedah ‘balik awal’ sempena Deepavali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

POKOK SENA – Deepavali ini membawa sinar untuk 39 banduan dari Penjara Pokok Sena dan Sungai Petani yang terpilih untuk meninggalkan sel masing-masing sempena perayaan Deepavali minggu depan.

Banduan terlibat iaitu 29 dari Penjara Pokok Sena dan 10 dari Penjara Sungai Petani itu dilepaskan secara berlesen dalam satu majlis di penjara masing-masing, hari ini.

Pengarah Penjara Kedah, Timbalan Komisioner Penjara Charin Promwichit berkata, 26 daripada mereka diserahkan kepada majikan sementara 13 lagi akan kembali ke pangkuan keluarga sempena perayaan itu.

“Mereka diberi peluang kedua dalam program dan kita mengharapkan mereka menggunakan kesempatan ini untuk memulakan hidup baharu demi masa depan mereka dan keluarga masing-masing.

“Ada yang dilepaskan ini adalah seorang ayah dan yang datang menjemputnya adalah seorang anak, kita lihat bagaimana keluarga masih memberi perhatian kepadanya walaupun sudah bergelar banduan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) Sempena Sambutan Perayaan Deepavali 2025 di Penjara Pokok Sena, di sini hari ini.

Katanya, sebanyak 194 banduan dilepaskan melalui program tersebut yang diadakan sempena musim perayaan sepanjang tahun ini.

“Pihak penjara menjaga kebajikan mereka sepanjang mereka dalam penjara sehingga keluar. Kita jaga kebajikan mereka termasuk dapatkan pekerjaan dan bantuan. Kita berharap mereka yang dilepaskan ini tidak lagi mengulangi kesalahan sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu menurut seorang banduan berusia  34 tahun dari Sungai Petani, dia merasa gembira kerana berpeluang menyambut Deepavali bersama keluarganya tahun ini.

“Tentulah saya gembira kerana dapat kembali kepada keluarga dan sambut Deepavali kerana sepatutnya saya keluar Februari tahun depan. Saya berharap keluarga dapat menerima saya kerana saya ingin memulakan hidup baharu,” katanya yang menjalani hukuman 12 bulan kerana mencuri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI