JITRA – Sebanyak 519 projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) berjalan lancar dengan 253 projek dikategorikan sebagai awal daripada jadual, manakala 266 lagi mengikut jadual ditetapkan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, pencapaian itu adalah daripada 865 projek dalam fasa pembinaan bernilai RM49.67 bilion yang dimiliki pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
“Daripada 865 projek itu, dua kriteria yang ingin saya tekankan ialah projek yang awal daripada jadual iaitu 253 projek atau 29.25 peratus dan projek yang mengikut jadual pula sebanyak 266 projek atau 30.75 peratus.
“Ini berita gembira untuk semua yang terlibat,” katanya pada sidang akhbar selepas lawatan rasmi ke Projek Contoh Membina Jalan dan Jambatan Alor Ganu/Titi Gajah di daerah Kota Setar hingga ke Titi Besi, daerah Kubang Pasu, di sini hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 383 projek bernilai RM16.36 bilion telah siap dan kini berada dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP).
Menurutnya, pihak kontraktor sentiasa diingatkan agar memastikan setiap projek dapat disiapkan mengikut jadual atau lebih awal daripada itu.
“Kita menasihati kontraktor pada peringkat awal pembinaan, sama ada projek jalan atau bangunan, supaya tidak mengulangi kesilapan kontraktor terdahulu yang menyebabkan kelewatan.
“Antara punca utama ialah perancangan jadual yang lemah, masalah kewangan kontraktor serta masalah dalaman antara pengarah syarikat,” ujarnya.
Beliau berkata, kontraktor turut diingatkan memastikan tenaga kerja mahir dan tidak mahir mencukupi serta proaktif dalam penyediaan bekalan bahan binaan.
“Itu antara perkara yang kita tekankan supaya mereka tidak lewat melaksanakan kerja kerana 70 peratus punca kelewatan dan projek sakit berpunca daripada kontraktor sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa bagi negeri Kedah, terdapat 60 projek dalam pembinaan bernilai RM3.1 bilion, manakala 83 projek lagi dalam perancangan bernilai RM3.5 bilion.
“Antara projek terbabit ialah kuarters KKM di Langkawi bernilai RM88 juta, manakala dalam perancangan termasuk Hospital Kulim bernilai RM400 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE