fbpx
MALAM penghargaan The Knights Award tahun ini menyaksikan penganugerahan kepada 36 tokoh dari pelosok dunia termasuk, termasuk Yusof Haslam, Amy Search dan Rosyam Nor. – ISKANDAR ISHAK

Yusof Haslam, Amy Search, Rosyam dapat pengiktirafan dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEMERLAPAN malam di Dewan Filharmonik Petronas memateri momen istimewa buat tiga nama besar dunia seni tanah air, Datuk Yusof Haslam, Datuk Rosyam Nor dan Datuk Amy Search apabila dipilih sebagai penerima anugerah tertinggi The Knights Award Musim Keempat: Beyond Borders.

Acara berprestij bertaraf antarabangsa tersebut diraikan dengan penuh penghormatan, mengiktiraf keunggulan mereka sebagai legenda yang bukan hanya mencipta nama, tetapi membina legasi seni tanah air.

Dalam majlis tersebut, Yusof dinamakan sebagai Penerbit Sepanjang Zaman (Malaysia), Rosyam diangkat sebagai Pelakon Paling Diraikan Sepanjang Zaman (Malaysia), manakala Amy Search menerima anugerah Ikon Rock Sepanjang Zaman (Malaysia).

Mengulas penghargaan yang diterima, Rosyam tidak mampu menyorok sebak apabila lebih empat dekad perjuangannya dalam industri diiktiraf di peringkat dunia.

“Saya sudah 41 tahun dalam industri lakonan. Bila diberi penghormatan pada malam ini, saya sangat terharu kerana bukan sahaja diiktiraf di Malaysia, tetapi juga oleh lebih 122 negara.

“Ini sesuatu yang luar biasa dan benar-benar menyentuh hati saya,” katanya penuh rendah diri.

Tambah aktor prolifik itu, pengiktirafan tersebut menjadi penyuluh semangat untuk terus menabur bakti dalam dunia seni, sekali gus menjadi inspirasi buat pelapis muda.

“Setiap penghargaan bukan noktah perjalanan, tetapi satu amanah untuk terus memberikan yang terbaik.

“Saya harap anak-anak seni baharu tidak mudah goyah, terus belajar, dan jadikan seni sebagai perjuangan, bukan sekadar kemasyhuran,” ujarnya.

ROSYAM menerima anugerah Pelakon Paling Diraikan Sepanjang Zaman.

Sementara itu, Presiden The Knights Award, Dr. Zyro Wong, menyifatkan kejayaan penganjuran tahun ini sebagai bukti kemampuan Malaysia berdiri megah di persada antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab inovasi dan kepimpinan global.

“Kami berbesar hati kerana penganjuran tahun ini berjaya menghimpunkan tokoh dari pelosok benua termasuk Brazil, Kanada dan Mesir, selain menjalin kerjasama erat bersama Commonwealth Youth Innovation Hub yang merangkumi 56 negara Komanwel.

“Lebih indah apabila kami dapat berinteraksi dengan pelbagai budaya dan bahasa. Walaupun berdepan cabaran komunikasi, semangat untuk berhubung tanpa batas sempadan menjadikan saya bangga bukan sahaja sebagai penganjur, tetapi sebagai rakyat Malaysia,” jelasnya.

Tahun ini, The Knights Award memberi penghormatan kepada 36 tokoh dan organisasi unggul daripada pelbagai sektor melalui tiga kategori utama iaitu Duke, Earl dan Baron yang melambangkan tahap kepimpinan, inovasi serta dedikasi luar biasa dalam bidang masing-masing.

Antara penerima kategori Duke termasuk Saintis Negara, Tan Sri Emeritus Prof Datuk Dr. Augustine Ong, penyanyi legenda Amerika Syarikat, Peabo Bryson yang diangkat sebagai Penyanyi Balada Jiwa Legenda Sepanjang Zaman (AS) serta penerbit unggul tanah air, Datuk Yusof Haslam, penerima Penerbit Sepanjang Zaman (Malaysia).

Dalam kategori korporat pula, jenama tersohor seperti Millennium Autobeyond Sdn Bhd, Astro AWANI, Village Park Restaurant dan JDX Tea turut diraikan atas sumbangan berterusan terhadap pembangunan industri tempatan.

Sementara itu, kategori Earl memberi pengiktirafan kepada golongan yang terus memperkasa dunia profesional melalui dedikasi dan inovasi luar biasa.

Antara penerimanya termasuk Datuk Amy Search sebagai Ikon Rock Sepanjang Zaman dan Datin Seri Aishah Chong yang diangkat sebagai Wanita Paling Berdedikasi.

Kategori Baron pula menjadi medan penghargaan kepada bintang baharu dan syarikat pelopor teknologi masa depan seperti Spacedollah, MUSH-E dan AISZE Global, yang masing-masing memperkenalkan pendekatan inovatif dalam pendidikan, teknologi dan kandungan digital.

Lebih daripada sekadar acara pengiktirafan, The Knights Award turut memperkenalkan pelbagai inisiatif pasca acara seperti kempen pemasaran strategik, peluang jaringan berprofil tinggi dan konsultansi eksklusif bagi memperkukuh kedudukan para penerima di pentas global.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI