KUALA LUMPUR – Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan SEA Thailand 2025, Nurul Huda Abdullah mendedahkan penempatan atlet kali ini bakal berbeza apabila kontinjen negara tidak akan tinggal di perkampungan sukan seperti edisi-edisi lalu.
Sebaliknya, semua atlet akan ditempatkan di hotel-hotel berasingan mengikut jenis sukan di tiga kluster utama iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla.
“Tiada perkampungan sukan disediakan untuk temasya kali ini. Atlet kita akan ditempatkan di hotel berbeza mengikut sukan masing-masing, bukan mengikut negara. Jadi seluruh kontinjen akan berpecah di beberapa hotel,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Pengurus Pasukan ke Sukan SEA 2025 di wisma OCM, hari ini.
Menurut Nurul Huda, perubahan itu dijangka menjadi cabaran utama dari segi logistik dan penyelarasan, terutama melibatkan pergerakan atlet serta keperluan sokongan sains sukan.
“Cabaran besar bagi kami ialah memastikan koordinasi berjalan lancar apabila atlet dan pegawai ditempatkan jauh antara satu sama lain. Kami sedang mengenal pasti satu hotel utama yang akan dijadikan pusat operasi bagi menyelaras semua urusan termasuk sains sukan dan sokongan teknikal,” jelasnya.
Beliau berkata, Institut Sukan Negara (ISN) turut dimaklumkan mengenai cabaran itu dan bersedia menempatkan pegawai di setiap kluster bagi memastikan bantuan kepada atlet dapat diberikan secara menyeluruh.
“ISN sedar tentang cabaran logistik ini dan akan menghantar seberapa ramai pegawai yang boleh ke Thailand. Namun mereka juga perlu mengekalkan sebahagian kakitangan di Malaysia kerana masih ada atlet yang bersiap untuk kejohanan lain,” katanya. KOSMO! ONLINE