fbpx
Shamsudin ketika ditemui pemberita di pekarangan sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, hari ini.

Polis tubuh task force, ambil keterangan pelajar di sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Polis masih mengambil keterangan pelajar bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar perempuan yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Shamsudin Mamat berkata, pihaknya telah menubuhkan satu ‘task force’ berhubung kejadian berkenaan.

Menurut Shamsudin, ia membabitkan pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dengan dibantu pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan secara teliti dan menyeluruh membabitkan pelbagai aspek termasuk siasatan di lokasi, merakam keterangan dan mengumpul bukti berkaitan.

“Kita masih menjalankan proses rakaman keterangan pelajar bagi membantu siasatan, kalau boleh kita mahu menyelesaikan perkara ini secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, suspek berusia 14 tahun, manakala mangsa berusia 16 tahun dimana kedua-duanya pelajar kelas peralihan masing-masing di tingkatan satu dan tingkatan tiga.

Sementara itu, tinjauan wartawan Kosmo! di lokasi mendapati, segelintir ibu bapa pelajar masih berada di pekarangan sekolah menunggu anak mereka.

Difahamkan, proses itu membabitkan beberapa pelajar di dua kelas sekolah berkenaan.

Seorang ibu pelajar ketika ditemui berkata, dia sedang menunggu anak yang sedang dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

“Anak saya masih berada dalam kawasan sekolah untuk memberi keterangan dan saya memang sudah dimaklumkan perkara itu,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pelajar ketika ditemui berkata, mereka tidak dibenarkan memberi sebarang kenyataan berhubung perkara itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI