fbpx
PERLIS (kiri) melangkah ke separuh akhir Piala Agong selepas menewaskan ATM 49-3 pada Ahad lalu. - PERSATUAN RAGBI PERLIS

Perlis cipta sejarah selepas 17 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SKUAD ragbi Perlis menamatkan penantian 17 tahun dengan penuh bergaya apabila mara ke separuh akhir Piala Agong 2025 selepas membenam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi suku akhir di laman sendiri, Ahad lalu.

Kali terakhir skuad Indera Kayangan melangkah sejauh itu pada edisi 2008 dan kejayaan tersebut disifatkan sebagai simbol kebangkitan semula ragbi negeri Perlis.

Ketua jurulatihnya, Mohd. Hafiz Zainon, menyifatkan kejayaan mengatasi ATM 49-3
sebagai momen paling manis dalam kariernya hasil kerja keras dan kepercayaan penuh anak buahnya di padang.

“Secara keseluruhan, ia satu perlawanan yang sengit dan kompetitif. Para pemain menunjukkan semangat juang serta disiplin tinggi sepanjang perlawanan.

“Kami berjaya melaksanakan apa yang dirancang. Pemain kekal tenang dan fokus hingga ke akhir. Namun masih ada ruang untuk ditambah baik, khususnya dalam transisi serangan dan ketepatan hantaran,” katanya.

Menjelang pertemuan separuh akhir menentang Johor, Hafiz mengakui ia bakal menjadi ujian sebenar buat pasukannya yang kini berada pada tahap keyakinan tinggi.

“Johor merupakan pasukan yang kuat dan tersusun. Fokus kami adalah untuk mengekalkan organisasi pertahanan kukuh serta meningkatkan kecekapan di kawasan breakdown.

“Kami juga akan memanfaatkan kepantasan barisan belakang dan memastikan pasukan bermain dengan bijak serta berdisiplin sepanjang perlawanan,” tegasnya.

Sebagai rekod, Perlis belum pernah melangkah ke pentas final sejak kejohanan tersebut dipertandingkan pada tahun 1983. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI