PETALING JAYA – Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski belum dapat memberi pengesahan sama ada pemain naturalisasi, Jordan Mintah boleh diturunkan pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos, malam ini.
“Saya masih belum dapat memberikan sebarang perkembangan. Tiada maklumat diberikan kepada saya berkenaan kelulusannya, ia berkaitan dengan urusan dokumentasi dalam proses lima tahunnya.
“Apabila dia sudah layak dan bersedia, barulah saya boleh maklumkan sama ada dia akan disenaraikan dalam pasukan atau tidak,” katanya pada sidang media semalam.
Mintah yang juga penggempur kelahiran Ghana telah didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam Liga Malaysia (Liga M) selepas disahkan menukar kewarganegaraan secara rasmi pada Ogos lepas.
Pemain berusia 28 tahun itu menyertai Liga M pada 2020 yang mana ketika itu dia bersama pasukan Terengganu FC (TFC) selain pernah menyarung jersi KL City sebelum berkelana ke kelab berpangkalan di Sarawak itu.
Mintah menjadi pemain naturalisasi kesembilan yang beraksi di Liga M selepas Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Sergio Aguero, Lee Tuck, Romel Morales, Paulo Josue dan Endrick dos Santos. – KOSMO! ONLINE