BANGKOK – Seorang lelaki di wilayah Buriram maut selepas terminum cecair pencuci tandas yang disangka minuman ringan, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Kejadian berlaku semalam apabila mangsa, Nattawut, 44, baru tersedar daripada mabuk.
Dia menyangka cecair berwarna hijau itu adalah minuman ringan berperisa buah kerana ia diletakkan di dalam botol minuman ringan.
Mangsa dibawa ke hospital terdekat selepas mengalami muntah-muntah dan pening.
Sejurus diperiksa, dotor memberikan suntikan dan ubat kepada mangsa sebelum dia dibenarkan pulang ke rumah.
Kira-kira lima jam kemudian, mangsa mengalami kekejangan dan dia meninggal dunia meskipun usaha pemulihan kecemasan dilakukan.
Ketua Pejabat Kesihatan Awam Wilayah Buriram, Dr. Pichet Phuedkhuntod menasihati orang ramai agar tidak menyimpan cecair berbahaya di dalam botol minuman bagi mengelak kejadian seumpama itu daripada berlaku. – AGENSI