LONDON – Seorang lelaki dari Wiltshire, England memutuskan untuk mengambil tindakan sendiri bagi menguar-uarkan masalah jalan berlubang di bandar tempat tinggalnya, lapor portal berita Metro.co.uk semalam.
Ben Thornbury, 20, meletakkan dua keping roti di atas kacang panggang yang diisi ke dalam lopak di Jalan Michael Pyms, bandar kelahirannya di Malmesbury, Wiltshire, baru-baru ini.
Dia menggunakan 30 tin kacang panggang untuk mengisi lubang tersebut sebelum meletakkan lapisan keju di atasnya.
“Saya mendapat diskaun dari kedai. Kalau tidak, harga kacang ini sudah cukup untuk menampung makan sekeluarga.”
Ben turut mengemukakan petisyen mendesak pentadbiran tempatan menampal lubang dan lopak jalan yang semakin banyak.
“Saya memutuskan untuk melakukan sesuatu yang luar biasa bagi menarik perhatian terhadap isu ini,” katanya. – AGENSI