KUALA LUMPUR — Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia kini berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya bagi menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka melanda negara bermula 5 November 2025 hingga Mac 2026.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kesiapsiagaan itu amat penting memandangkan sebelum ini, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan antara lima hingga tujuh episod hujan lebat akan berlaku sepanjang tempoh berkenaan.
“Saya telah mengarahkan kementerian amnya dan JKR khasnya untuk bersiap siaga. Dengan jangkaan lima hingga tujuh episod hujan lebat akan berlaku, JKR Malaysia telah memasang 73 stesen tolok hujan, tiga Robotic Total Station (RTS) dan satu unit GNSS untuk memantau cerun berisiko,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Bulanan KKR di sini, hari ini.
Beliau menambah, menerusi data yang diperoleh daripada Sistem Amaran Awal di bawah Cawangan Kejuruteraan Cerun, amaran awal akan disalurkan kepada JKR di peringkat negeri dan daerah berdasarkan tiga tahap risiko.
“Ada tahap berjaga-jaga, amaran, atau bahaya. Tindakan pantas, koordinasi, dan kesiapsiagaan adalah tanggungjawab bersama untuk melindungi nyawa, harta benda, dan infrastruktur,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE