SEREMBAN – Seorang pengawal keselamatan sekolah dan teman lelakinya dituduh di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mencabul murid perempuan di tandas sebuah sekolah di Rembau minggu lalu.
Tertuduh, Muahmad Mohd Mohtar, 25, dan Nor Aleeya Suhadah Mohamad, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim N Kanageswari.
Mereka didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa berusia sembilan tahun pukul 9.30 hingga 10.30 pagi di dalam tandas perempuan sekolah pada 7 Oktober lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM30,000 terhadap kedua-dua tertuduh selain perlu melapor diri setiap bulan sehingga kes selesai.
“Tertuduh juga tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan hingga kes selesai dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sekiranya ada,” katanya.
Muahmad memberitahu dia bekerja sendiri, manakala Nor Aleeya Suhadah yang diwakili peguam Norfazrin Jamal merayu agar jaminan dikurangkan kepada RM10,000 kerana anak guamnya yang bergaji RM1,600 menanggung keluarga dan empat adik-beradik yang masih bersekolah.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 berserta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan. – KOSMO! ONLINE