KUALA LUMPUR – Pulau Langkawi sekali lagi bakal menjadi tumpuan menjelang kejohanan IRONMAN Malaysia 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 30 Oktober hingga 2 November depan.
Dijangka seramai 1,500 peserta dari 56 buah negara bakal mengambil bahagian dalam acara sukan ekstrem itu yang sudah pun memasuki edisi ke-10 pada penganjuran tahun ini.
Acara berprestij itu mempertaruhkan cabaran renang sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal 180km serta larian 42.2km, sekali gus dianggap sebagai antara perlumbaan triatlon jarak jauh paling mencabar di dunia.
Turut dipertandingkan pada edisi tahun ini adalah IRONMAN 70.3 Langkawi, iaitu jarak separuh penuh yang kembali bagi tahun ketujuh berturut-turut sejak ia diperkenalkan lapan tahun lalu.
Sepanjang 10 tahun penganjuran, kejohanan itu bukan sahaja menjadi ‘kilang’ melahirkan pelumba berdaya saing, malah turut menjadi pencetus kepada perkembangan sukan triatlon di Malaysia.
Pada edisi kali ini, Malaysia akan diwakili 500 peserta tempatan yang dijadualkan beraksi dalam kedua-dua kategori utama nanti.
Rekod kejohanan pada ketika ini dipegang peserta Brazil, Fernando Toldi yang melakukan catatan masa 8 jam 10 minit 24 saat (s) manakala kategori wanita milik atlet Australia, Regan Hollioake (9’13:08s).
Bagi peserta tempatan pula, Fawwaz Fauzi menjadi pelumba terbaik menerusi catatan masa 10’47:42s bagi kategori lelaki manakala Pow Chia Ling (11’33:41s) mengungguli kategori wanita.
Pengarah IRONMAN Serantau Asia, CG Lim berkata, penganjuran kali ini bukan sekadar perlumbaan tetapi menjadi simbol kepada satu dekad pembinaan komuniti, pendedahan global serta semangat ketahanan diri luar biasa.
“IRONMAN Malaysia kini lebih daripada sekadar acara sukan, ia menjadi platform rakyat Malaysia mengejar impian. Ramai yang berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Dunia IRONMAN di Kona, Hawaii.
“Edisi ke-10 ini meraikan bukan sahaja atlet, tetapi juga semangat masyarakat Langkawi serta sokongan padu komuniti yang menjadikan IRONMAN Malaysia istimewa hingga ke hari ini,” katanya.
Selain menjadi medan menguji ketahanan mental dan fizikal, IRONMAN Malaysia turut menjana ekonomi tempatan dengan impak keseluruhan mencecah RM248 juta sejak 2014, termasuk RM23.8 juta pada tahun lalu. – KOSMO! ONLINE