SHAH ALAM – Selaras pelaksanaan Budi95, Petron Malaysia melancarkan kempen Pasti OK bagi memudahkan pelanggan memanfaatkan program subsidi bersasar itu.
Pengurus Besarnya, Mohd. Nizam Mansor berkata, syarikat itu akan memperluaskan kempen berkenaan di semua 820 stesen minyaknya di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, pihaknya komited membantu pelanggan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap bahan api di bawah kerangka subsidi baharu.
“Menerusi kempen Pasti OK, kami memastikan di semua stesen Petron menyediakan pelbagai maklumat sama ada risalah, poster dan kaunter khas Budi95.
“Selain itu, kami menggunakan kaedah ‘Semak, Bayar, Isi’ yang lebih mudah difahami pelanggan sekali gus memastikan peralihan sistem subsidi berkenaan berjalan lancar,” katanya selepas melancarkan kempen itu di Petron Seksyen 24, di sini, hari ini.
Pada majlis pelancaran, Petron turut memperkenalkan video muzik khas ‘Semak, Bayar, Isi – Pasti OK OK’ nyanyian Mimi Fly yang memberi tunjuk ajar kaedah mengisi minyak menggunakan kelayakan Budi95 dengan cara lebih santai untuk difahami pelanggan.
Jelas Mohd. Nizam, kempen itu turut menampilkan isyarat tangan Pasti OK dalam Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) yang diiktiraf oleh Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD).
“Ia membuktikan usaha kami mewujudkan persekitaran mesra dan mudah diakses semua pihak termasuk komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran.
“Kami juga terus menyokong komuniti menerusi pelbagai program seperti Jelajah Aspirasi Malaysia, selaras matlamat menjadi stesen minyak yang mesra dan memahami keperluan pelanggan,” ujarnya.
Tambah beliau, Petron akan terus menambah baik pelbagai kemudahan di stesen minyak bagi memberi pengalaman lebih baik, antaranya pengenalan sistem ganjaran baharu menggunakan MyKad sebagai pengganti kad PMiles yang memudahkan pelanggan mengumpul mata ganjaran.
“Kami juga sedang menambah baik aplikasi Petron (PMA) sebagai platform digital dan penggunaannya kini hanya dibenarkan di kedai Treats atas faktor keselamatan kerana penggunaan telefon bimbit di kawasan pam adalah tidak dibenarkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE