SEGAMAT – Tiga remaja termasuk dua pelajar masih bersekolah berusia 13 hingga 15 tahun diberkas pihak polis selepas mencuri duit tabung di Surau Kampung Tanjung Sekawang, di sini, 3 Oktober lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah, kejadian itu disedari pengerusi surau berkenaan sebelum membuat aduan laporan polis pada 3 Oktober lalu.
“Berdasarkan aduan yang diterima, tabung surau yang dicuri dianggarkan berisi wang berjumlah RM200.
“Bertindak atas makluman dan risikan, polis berjaya memberkas ketiga-tiga remaja berkenaan di lokasi berbeza sekitar Segamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek mendapati negatif dan dua daripada mereka masih bersekolah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE