PETALING JAYA – Seramai 1,255 murid daripada sembilan sekolah di Pulau Pinang, Selangor dan Johor mendapat manfaat daripada Program STEM Stars anjuran Setia Foundation, cabang yayasan S P Setia Bhd, yang bertujuan memupuk minat terhadap sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam kalangan pelajar B40.
Program yang dilaksanakan di bawah inisiatif Sekolah Angkat Madani itu berlangsung selama 14 hari bermula 19 Ogos hingga 10 September lalu, dengan pelbagai aktiviti pembelajaran interaktif dan menyeronokkan.
Antara pengisian utama ialah Sesi Makmal Komputer yang memperkenalkan pelajar kepada dunia pengaturcaraan Mikro:bit, selain Stesen STEM Interaktif yang mengetengahkan teknologi rumah pintar serta cabaran soal jawab masa nyata.
Menurut Ahli Jawatankuasa Pengurusan Setia Foundation merangkap Ketua Pegawai Operasi S P Setia Berhad, Datuk Yuslina Mohd Yunus, program itu selaras dengan falsafah LiveLearnWorkPlay yang menjadi tunjang kepada setiap inisiatif komuniti syarikat berkenaan.
“Program STEM Stars ini menggambarkan semangat kami untuk memupuk minda muda, khususnya dalam kalangan pelajar yang kurang mendapat perhatian, agar mereka berani meneroka dunia inovasi dan penemuan baharu,” katanya dalam satu kenyataan.
Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerusi Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Teknologi (FKTEN) yang diketuai oleh Mohd Hafiz Ismail, dengan bantuan sukarelawan Setia dan pelajar universiti tersebut.
Kemuncak fasa pertama diadakan di SJKT Tasek Permai pada 8 September lalu, disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan S P Setia, Datuk Tengku Marina Tunku Annuar, bersama tetamu kehormat lain termasuk Datuk Yuslina Mohd Yunus dan Mohd Hafizi Abdul Majid, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Seberang Perai Selatan.
Fasa kedua program dijadualkan berlangsung akhir November hingga awal Disember ini, di mana para pelajar akan membentangkan projek rumah pintar menggunakan kit Micro:bit dan bahan kitar semula hasil pembelajaran mereka sebelum ini.
“Kami bukan sekadar mendidik konsep STEM, sebaliknya mahu melahirkan inovator muda yang mampu mengaplikasikan ilmu mereka untuk menyelesaikan cabaran dunia sebenar,” tambah Yuslina.
Program STEM Stars menjadi sebahagian daripada usaha jangka panjang Setia Foundation untuk merapatkan jurang pendidikan serta memperkasa komuniti B40 di seluruh negara.-KOSMO! ONLINE.