fbpx
Empat PATI yang ditahan di dalam sebuah kereta di Lembah Sireh, Kota Bharu semalam. Foto IMIGRESEN

10 PATI dicekup, tak sempat naik bas ke KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Hasrat 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk empat wanita dari pelbagai negara untuk menaiki bas dan mencari pekerjaan di ibu negara tidak kesampaian apabila mereka dicekup pihak imigresen di Lembah Sireh di sini semalam.

Dalam Ops Serkap yang dijalankan oleh 12 pegawai penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia bermula kira-kira pukul 7 pagi itu, seorang memandu kereta jenis Proton Saga dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ mengangkut kesemua PATI berkenaan turut ditahan.

Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd. Hassan berkata, siasatan awal mendapati, sebuah kereta menurunkan beberapa PATI di Lembah Sireh sebelum kembali bersama warga asing lain di kawasan tersebut.

Menurutnya, semasa serbuan dijalankan, empat lelaki bersama tiga wanita warga India, dua lelaki warga Pakistan dan seorang wanita warga Indonesia berusia dalam lingkungan 18 hingga 43 tahun berjaya ditahan.

“Seorang lelaki berusia 24 tahun turut diberkas selepas dipercayai memandu sebuah kereta yang membawa masuk kesemua PATI tersebut.

“Semakan mendapati, empat PATI warga India itu telah ditolak kemasukan ke negara ini pada 11 Oktober lalu oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia, Pengkalan Hulu di Perak kerana tidak mempunyai dokumen sokongan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Mohamed Yusoff Khan memberitahu, kesemua PATI itu dipercayai akan menaiki bas di Terminal Bas Kota Bharu, Lembah Sireh di sini untuk mencari pekerjaan di Lembah Klang.

Menurutnya, 10 PATI itu ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa permit sah dan Seksyen 15 (1)(c) akta sama atas kesalahan tinggal lebih masa.

Tambahnya, pemandu kereta itu disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 kerana dipercayai menjalankan aktiviti penyeludupan migran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI