fbpx
Gambar hiasan

SPRM tahan pesara tentera disyaki terima rasuah RM405,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang telah menahan seorang pesara tentera hari ini kerana disyaki menerima rasuah berjumlah kira-kira RM405,000 daripada seorang pemilik syarikat.

Menurut sumber, wang rasuah itu adalah sebagai balasan untuknya menjual aset Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dengan harga yang lebih rendah daripada harga pasaran.

Sumber berkata, suspek lelaki berusia dalam lingkungan 60-an itu telah ditahan kira-kira pukul 10 pagi tadi ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang.

”Siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku sekitar tahun 2015 di mana suspek ketika itu memegang jawatan Ketua Penerangan PVATM.

”Suspek disyaki telah meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM405,000 daripada penjualan aset PVATM iaitu lima unit pangsapuri yang terletak sekitar Pulau Pinang.

”Suspek juga dipercayai telah menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya dan sebanyak 12 transaksi telah dikesan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S. Karunanithy, ketika dihubungi, mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Menurut beliau, suspek akan dituduh pada Rabu ini di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, Pulau Pinang.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI