PEMAIN sensasi Harimau Malaya, Faisal Halim mengakui sudah berada pada prestasi terbaik untuk menggegar gawang Laos menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Sebagai rekod, Faisal yang mesra dengan panggilan Mickey telah mencetak gol pertama buat skuad kebangsaan ketika menewaskan Laos, 3-0 di Viantiene, Khamis lepas
Kata Faisal, jaringan tersebut cukup bermakna buat dirinya kerana ia adalah gol pertama dalam tempoh hampir dua tahun selepas kali terakhir meledak ketika menentang Korea Selatan di pentas Piala Asia 2023, tahun lepas.
“Selepas 623 hari tak silap saya tanpa jaringan (buat skuad kebangsaan), hampir dua tahun dan saya kembali menjaringkan gol untuk skuad kebangsaan.
“Saya sangat gembira apabila diberikan peluang oleh jurulatih dan ini membuktikan saya mampu (bangkit) selepas bekerja keras untuk capai saya punya sasaran serta prestasi yang diharapkan.
“Sebagai pemain, kita kena teruskan kerja kita, apa yang sepatutnya kita kena lakukan dengan berjuang untuk pasukan kebangsaan,” katanya pada sidang media semalam.
Sementara itu, kapten kelab Selangor FC itu percaya misi pasukan adalah untuk mengulangi pencapaian layak ke pentas Piala Asia 2027 seperti yang dilakukan pada edisi lepas.
Kata Faisal, kehadiran penyokong yang ramai sangat dituntut untuk memastikan semua pemain dapat berikan sepenuh tenaga di atas padang nanti.
“Kita nak lihat seperti mana pasukan kebangsaan layak ke Asia seperti edisi yang lepas. Begitu ramai di stadium, begitu meriah.
“Kita sebagai pemain, apabila kita mendapat suasana seperti itu, memang sangat teruja dan bangga. Harapkan Stadium Nasional Bukit Jalil dimeriahi dengan penyokong Malaysia pada malam esok (malam ini),” katanya. – KOSMO! ONLINE