fbpx

Diane Keaton meninggal dunia, keluarga rahsiakan penyakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEMERGIAN bintang legenda Hollywood, Diane Keaton yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 79 tahun, semalam masih mengejutkan rakan terdekat.

Punca kematian pelakon filem The Godfather itu dirahsiakan keluarganya, namun laporan awal menyebut tahap kesihatannya merudum sejak beberapa bulan lalu.

Sahabat karibnya juga penyanyi dan komposer, Carole Bayer Sager berkata, kali terakhir dia bertemu aktres terbabit adalah beberapa minggu lalu dan fizikalnya lebih kurus berbanding sebelum itu.

“Nampak perubahan yang sangat ketara, hilang banyak berat badan. Cuma pada pertemuan itu dia tak maklumkan apa-apa,” katanya dalam satu temu bual.

Menurut sumber lain, kesihatan Keaton berubah secara mendadak sejak beberapa bulan lalu, tetapi keluarga lebih selesa tidak menghebahkan kepada orang luar.

“Keluarga tidak memaklumkan kepada sesiapa berkenaan penyakit dihidapinya mahupun memberitahu kawan terdekat kondisi Keaton.

“Hingga ke hari ini pun kami masih tidak mengetahui punca sebenar. Apa pun kami hormati pendirian mereka,” ujar individu yang enggan mendedahkan identitinya.

Ketika zaman muda Keaton pernah berdepan masalah bulimia selain disahkan berdepan penyakit kanser kulit pada usia 21 tahun, namun sudah menjalani pembedahan.

Antara rakan lain yang menzahirkan kesedihan ialah pelakon filem First Wives Club, Bette Midler yang mengakui kehilangan sahabat sejati.

“Diane Keaton bijak, cantik dan luar biasa. Saya tidak dapat gambarkan betapa sedihnya kehilangan ini. Beliau tidak pernah menunjukkan sifat bersaing walaupun bintang besar. Apa yang anda lihat, itulah dirinya sebenar,” katanya.

Pelakon Ben Stiller turut memberi penghormatan menerusi platform X dengan menulis dunia seni kehilangan karyawan yang luar biasa

“Pelakon terhebat sepanjang zaman. Ikon gaya, humor dan komedi. Genius. Seorang insan yang luar biasa,” tulisnya.

Pemergian penerima Oscar itu yang meninggal dunia di Los Angeles disahkan penerbit dan rakannya, Dori Rath kepada CBS News iaitu rakan media BBC di Amerika Syarikat (AS).

Terdahulu, mendiang mencipta nama pada era 1970-an menerusi watak Kay Adams-Corleone dalam filem francais The Godfather sebelum menyerlah dalam naskhah Father of the Bride dan First Wives Club.

Namanya terus menyerlah dengan membintangi filem Annie Hall iaitu karya yang melayakkannya diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik dalam Anugerah Akademi 1978 atau Oscar.

Sepanjang kerjayanya, Keaton menerima empat pencalonan Oscar dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik termasuk untuk lakonannya dalam Something’s Gotta Give, Marvin’s Room dan Reds.

Menerusi filem sama, Keaton turut meraih Anugerah Golden Globe bagi Pelakon Wanita Terbaik (Kategori Komedi atau Muzikal) serta Anugerah BAFTA untuk Pelakon Wanita Terbaik.

Sepanjang lebih lima dekad, mendiang membintangi puluhan filem termasuk The Family Stone, Because I Said So dan And So It Goes, selain beberapa karya arahan Woody Allen seperti Play It Again, Sam, Sleeper, Love and Death serta Manhattan

Terdahulu, penampilan pertamanya di layar perak adalah menerusi filem romantik komedi Lovers and Other Strangers (1970), manakala produksi terakhir dibintangi Summer Camp (2024), bergandingan dengan Eugene Levy dan Kathy Bates.

Selain berlakon, Keaton turut duduk di kerusi pengarah dan sentuhan pertamanya adalah dokumentari Heaven (1987) yang menelusuri kepercayaan manusia mengenai alam selepas kematian.

Filem arahannya pada 1995, Unstrung Heroes pula dibintangi Andie MacDowell, John Turturro dan Michael Richards dipilih ke Festival Filem Cannes bagi segmen Un Certain Regard yang mengetengahkan karya pengarah baharu.

Keaton tidak pernah berkahwin dan mempunyai dua anak angkat, iaitu anak perempuan bernama Dexter, 29, dan anak lelaki, Duke, 25. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI