KUALA LUMPUR – Kerajaan meneruskan inisiatif pembiayaan perumahan termasuk jaminan kredit sehingga RM500,000, skim sewa untuk dibeli (RTO) serta konsep pembiayaan ‘step-up financing’ bagi membantu golongan muda dan rakyat berpendapatan rendah serta sederhana memiliki rumah pertama.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, dasar berkenaan selaras dengan prinsip kerajaan yang inginkan setiap rakyat untuk memiliki kediaman yang selesa sama ada melalui pemilikan atau sewaan.
“Di luar sana, antara cabaran paling besar dalam pemilikan rumah ialah aspek pembiayaan. Maka beberapa inisiatif telah ditetapkan kerajaan bagi memudahkan rakyat memiliki rumah,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN– Merbok) yang ingin tahu langkah KPKT untuk membantu golongan muda memiliki rumah pertama mampu milik di bandar yang berkualiti dengan menyediakan kemudahan pembiayaan yang mencukupi kepada golongan memerlukan
Jelas Aiman Athirah, antara langkah utama ialah Skim Jaminan Kredit Perumahan yang menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM500,000 kepada golongan B40 dan M40 bagi pembelian rumah pertama sama ada rumah baharu, sedia ada atau lelongan.
“Pelaksanaan skim RTO diteruskan bagi Program Perumahan Rakyat dan Program Residensi Rakyat di bawah KPKT.
“Program ini telah dilaksanakan di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan.
“Konsep step-up financing juga diperkenalkan, membolehkan bayaran bulanan permulaan lebih rendah dan meningkat secara berperingkat mengikut pertumbuhan pendapatan peminjam.
“Kerajaan turut meneruskan kempen Home Ownership Campaign 2.0 yang bermula pada 1 Januari 2021 dan dilanjutkan hingga 2027,” katanya.
Menerusi kempen berkenaan kata beliau, pembeli rumah pertama bernilai sehingga RM500,000 menikmati pelepasan cukai individu sehingga RM7,000, manakala rumah berharga antara RM500,000 hingga RM750,000 diberi pelepasan sehingga RM5,000. – KOSMO! ONLINE.