fbpx
Dinding dan perabot corak vintaj serta floral menceriakan kediaman milik Nur Ainna di Dengkil, Selangor.

Dekorasi floral, vintaj ceriakan kediaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RUANG tamu kediaman pangsapuri di Cyber South, Dengkil, Selangor itu jelas memancarkan suasana hangat dan penuh nostalgia.

Dari corak bunga lembut pada kertas dinding hingga kerusi empuk bermotif vintaj yang tersusun rapi, setiap sudut dipenuhi dengan sentuhan klasik.

Pencahayaan redup daripada lampu dinding hingga lampu meja mencipta suasana nyaman, menenangkan dan romantik pada ruang tamu kediaman berkenaan.

Warna hijau lembut pada dinding bawah pula memberi keseimbangan pada nuansa floral yang dominan di sebelah atas.

Sementara karpet bundar bermotif halus melengkapi suasana dengan kelembutan visual.

Rumah dengan konsep vintaj, shabby chic, cottagecore dan gingham tersebut mencerminkan personaliti pemiliknya, Nur Aainaa Rusli yang ceria, nostalgik serta damai.

Menurut wanita berusia 31 tahun tersebut, dia memilih konsep yang kurang popular pada masa kini itu selepas melancong ke kawasan perkampungan di Turkiye pada 2022.

“Sejak kecil, saya memang suka dekorasi sebab tengok mak rajin menghias rumah. Lepas ke Turkiye, saya terus jatuh cinta dengan suasana rumah kampung di sana yang berwarna-warni, ceria dan hidup.

“Dari situ, saya mula bawa inspirasi itu ke rumah sendiri, campur pula dengan idea yang saya jumpa semasa melancong ke Korea Selatan dan Dubai (Emiriyah Arab Bersatu),” katanya kepada CitaRasa.

Rumah berkeluasan 320 meter persegi itu menonjol kerana menggunakan pelbagai jenis kertas dinding dengan corak berbeza di setiap bilik dan ruang.

Ruang tamu berkonsepkan vintaj Inggeris, manakala dapur menampilkan tema Turkiye dengan kertas dinding bercorak buah ceri.

Gabungan dua corak kertas dinding ala-ala Turkiye di bahagian dapur.

Bilik utama pula diinspirasikan oleh tema fauna dan flora, sementara bilik lain mengekalkan gaya vintaj klasik.

Kepelbagaian corak kertas dinding dipadankan dengan gabungan warna lembut seperti putih, hijau, merah jambu, turquoise dan krim.

Jelas suri rumah tersebut, kepelbagaian corak kertas dinding memberikan ilusi ruang yang lebih hidup, walaupun jumlah barangan di dalam rumahnya tidak banyak.

“Penggunaan kertas dinding ini sebenarnya senang dijaga kerana saya sudah biasa menggunakan kertas dinding sejak duduk di rumah sewa lama.

“Saya guna kertas dinding jenis sticker (pelekat) di dapur, manakala di ruang lain saya guna kertas dinding gam.

“Koleksi kertas dinding saya kebanyakannya dibeli dari Turkiye, Korea Selatan, Dubai serta beberapa dari kedai barang terpakai,” katanya.

Antara barang unik di rumahnya termasuk rocking chair, side cabinet, standing lamp, cermin lama, serta sebuah kabinet drawer yang dibeli dari Dubai.

Kesemua perabot di rumah tersebut adalah vintaj asli dan diperoleh melalui pembelian sendiri terutama ketika melancong ke luar negara.

Proses mengumpul perabot dan kertas dinding mengikut dekorasi impian itu mengambil masa dua tahun sebelum berpindah ke rumah tersebut pada awal tahun lalu.

Kongsi Nur Aainaa, kos paling tinggi adalah membeli kertas dinding yang mencecah ribuan ringgit kerana kualiti dan coraknya.

“Kebanyakan duit habis pada kertas dinding. Sebagai contoh, kertas dinding Korea berharga sekitar RM399 satu gulung, manakala gam kertas dinding pula lebih RM100 sebotol.

“Walaupun barang hiasan lain lebih murah, namun ia sukar diperoleh kerana semua barangan yang saya pilih adalah bersifat vintaj asli,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN