KUALA LUMPUR- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedang berusaha menambah anggota bagi menampung keperluan sedia ada dan pada masa hadapan selaras dengan beban tugas serta keluasan Zon Maritim Malaysia.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, ketika ini terdapat 543 kekosongan jawatan dan APMM sedang mengemukakan permohonan rasmi kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengisi kekosongan tersebut.
“Langkah ini perlu bagi memastikan operasi APMM berjalan lancar dan berkesan bagi memantau perairan negara yang begitu besar,” katanya.
Menurut Shamsul kekosongan jawatan ini merangkumi pelbagai kategori termasuk pegawai penguatkuasa, pegawai kanan sokongan dan sebagainya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) di Dewan Rakyat hari ini.
Selain penambahan anggota, KDN melalui APMM sentiasa berusaha menambah baik operasi, termasuk memastikan aset-aset diselenggara dengan baik dan operasi berjalan secara berkesan serta tersusun.
APMM menetapkan beberapa indikator prestasi utama (KPI) bagi menilai keberkesanan aset baharu dalam tempoh setahun selepas perolehan.
Antaranya tahap kesiapsiagaan aset, bilangan rondaan dan operasi pengawasan yang berjaya dilaksanakan.
KPI juga menilai keberkesanan tindak balas terhadap sebarang insiden atau pencerobohan, peningkatan kehadiran dan jangkauan rondaan di kawasan strategik termasuk Zon Ekonomi Eksklusif, serta keberhasilan operasi seperti jumlah tangkapan, rampasan dan pencegahan.-KOSMO! ONLINE.