KUALA LUMPUR – Orang ramai dijemput memeriahkan ASEAN Arts & Crafts Bazaar (AACB) 2025 bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur yang berlangsung sejak Jumaat lalu sehingga 20 Oktober ini.
Program anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu dibuka kepada orang ramai bermula pukul 10 pagi sehingga pukul 10 malam.
Acara selama 11 hari itu mengumpulkan usahawan kraf dari 10 negara anggota ASEAN untuk mengetengahkan seni kraf negara masing-masing, melibatkan produk tekstil, hasil tanah dan rimba.
Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, acara tersebut menyasarkan kira-kira 100,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
Jelasnya, acara tersebut turut menyasarkan jualan RM8 juta sepanjang 11 hari penganjuran bazar terbabit.
“Seramai 174 usahawan terlibat dan mereka akan mempamerkan produk seni dan kraf di sini Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Mereka terdiri daripada usahawan tempatan dan juga luar negara.
“Istimewanya di bazar ini pengunjung berpeluang untuk mendapatkan batik hasil usahawan tempatan pada harga di bawah RM100,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini kelmarin.
Mengulas lanjut, Shahruddin berkata, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan pengunjung seperti padanan perniagaan, jualan kraf, pameran produk kraf baharu, pameran teknologi, pameran Institut Kraf Negara, pameran produk kraf ASEAN dan pameran pelbagai agensi.
Selain itu katanya, turut diadakan pameran ASEAN Miniature Gallery, pameran khas Tenun Pahang Diraja, demonstrasi kraf (adiguru kraf dan usahawan kraf), peragaan fesyen serta eksplorasi kraf (Interaktif Kraf dan Fun Craft).
“Aktiviti lain seperti taklimat keusahawanan (Standard Kraftangan Malaysia, Malaysia Standard (MS) dan Bicara Keusahawanan Kraf), aktiviti galakan pengunjung (jualan dan demonstrasi makanan warisan serta jualan cita rasa ASEAN Food).
“Turut diadakan aktiviti senam seni, pertandingan kompang berirama, pencarian Aku Model Kraf, pertandingan Cerita Lensa Ku, persembahan kesenian dan banyak lagi,”ujarnya.
Tambah beliau, sempena penganjuran AACB turut diketengahkan demonstrasi kraf antarabangsa yang melibatkan jurudemo yang didatangkan khas dari Brunei (songket).
Selain itu katanya, turut terlibat jurudemo dari Cambodia (sutera ikat tenun), Lao PDR (tenunan), Thailand (barang kemas), Vietnam (hasil rimba), Timor Leste (sulaman tais), China (anyaman buluh), Uzbekistan (ukiran seramik) dan Turkiye (sulaman tradisional).
“Aktiviti demonstrasi ini dapat memberi perkongsian pengetahuan kepada masyarakat dan mengukuhkan hubungan di peringkat global melalui seni budaya serta kreativiti kraf luar negara.
“Aktiviti ini juga memberi peluang kepada masyarakat tempatan untuk melihat dan mengenali teknik dan proses pembuatan produk kraf antarabangsa dengan lebih terperinci,”katanya.
Orang ramai digalakkan menggunakan kemudahan awam untuk mengunjungi AACB di Kompleks Kraf ini dengan menaiki MRT ke Stesen MRT Conlay.
Pengunjung juga boleh meletakkan kenderaan di kawasan parkir berbayar di Lot 310, Jalan Kia Peng (bersebelahan Hospital Prince Court) dan Hotel Royale Chulan, Jalan Conlay. -KOSMO! ONLINE