Saudara Pengarang,
TERLEBIH dahulu saya ingin menzahirkan rasa simpati kepada ahli keluarga pelajar tingkatan tiga yang menjadi mangsa ‘kerakusan’ pelajar senior di sebuah sekolah di Melaka minggu lalu.
Tidak dapat dibayangkan perasaan traumanya yang dihadapi remaja perempuan tersebut dan kesedihan serta aib yang terpaksa ditanggung termasuk ahli keluarga.
Bagi saya yang mempunyai anak perempuan, sudah tentunya perkara ini amat menakutkan dan pihak berkuasa perlu bertindak lebih serius dalam menangani isu tersebut.
Ini kerana, kejadian itu secara terang-terangan berlaku dalam kawasan sekolah yang selama ini dianggap sebagai sebuah tempat yang selamat untuk menimba ilmu oleh golongan ibu bapa.
Rentetan itu, timbul pelbagai persoalan dalam kotak fikiran saya, di mana silapnya pengurusan? Di mana kakitangan sekolah ketika itu? Adakah tiada pelajar lain yang menemani mangsa ketika itu? Kenapa pelajar senior itu begitu berani melakukan aktiviti tidak senonoh tersebut?
Tidak mustahil jika ada ibu bapa yang beranggapan sekolah sekarang tidak lagi selamat. Ini kerana sebelum ini kita disajikan dengan berita-berita kes buli, sekarang pula kesalahan seksual.
Perbuatan pelajar-pelajar senior itu dianggap sungguh biadab dan boleh dikatakan ‘gila’.
Sampai bila kita akan disajikan dengan berita-berita aib dan mendukacitakan ini.
Bagi saya, sudah tiba masanya kementerian melihat semula prosedur operasi standard (SOP) semua yang terlibat di sekolah dari pelajar sehinggalah pengawal keselamatan.
Mungkin boleh kembalikan kuasa merotan kepada guru agar pelajar berasa takut seperti zaman kita bersekolah dahulu.
Jangan terlalu manjakan pelajar dengan layanan seperti ‘VIP’ dan akhirnya mereka menjadi ‘tuan’ bukan sahaja kepada guru, tetapi juga kepada ibu bapa di rumah.
Bekas Guru Sekolah Memandu
Jengka, Pahang