KUALA LUMPUR – Perdana Menteri berkata, beliau tidak boleh mengambil kredit atas usaha aktivis kemanusiaan yang menyertai Global Sumud Flotilla.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau hanya memberi sokongan dan kemudahan bagi memastikan hasrat anak muda yang berani menggerakkan misi kemanusiaan ke Gaza itu tercapai.
“Saya tidak boleh ambil kredit kerana bukan saya yang mulakan. Sekumpulan anak muda datang kepada saya dan berkata mahu mengetuai misi flotila. Saya kata ‘baik, teruskan’ dan kerajaan akan bantu memudahkan.
“Selepas itu barulah saya sahkan sokongan penuh secara rasmi, sebelum negara lain seperti Colombia turut menyatakan sokongan mereka,” katanya ketika berucap dalam program In-Conversation With Prime Minister sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Antarabangsa (iFUTURE 2025) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Anwar berkata, kerajaan kini sedang berhubung dengan beberapa negara bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan ke Gaza dengan lebih berkesan melalui laluan darat.
“Saya cadangkan kepada rakan-rakan dalam Suara Nusantara Flotilla supaya tidak perlu lagi belayar ke laut. Sebaliknya, gunakan laluan darat melalui Mesir ke Rafah.
“Saya akan berhubung dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah Saeed Hussein Khalil Al-Sisi dalam masa terdekat untuk menyampaikan perkara ini,” katanya.
Dalam pada itu berliau berkata, walaupun Malaysia bukan negara besar dari segi ketenteraan, namun tetap tegas dalam mempertahankan nilai kemanusiaan dan maruah sejagat.
“Kita tidak boleh berdiam diri bila melihat penindasan. Sebab itu kita juga terlibat dalam usaha mendamaikan konflik Thailand-Kemboja dan Myanmar.
“Kita hantar hospital medan ke Myanmar dengan syarat tembakan dihentikan dan bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk,” katanya. – KOSMO! ONLINE