KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan bagi membatalkan saman pemula oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy berhubung pelantikannya sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen.
Berdasarkan dokumen yang diperolehi media hari ini, Anwar, 78, selaku defendan mengemukakan permohonan itu menerusi Tetuan Daniel & Wong pada 10 Oktober lalu di Mahkamah Tinggi di sini memohon agar saman pemula itu dibatalkan.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata permohonan untuk membatalkan saman tersebut atas alasan ia adalah secara substans dan kesannya (in substance and effect), satu cabaran terhadap pemilihan defendan (Anwar) sebagai satu Ahli Parlimen dalam Pilihanraya Umum Malaysia Ke-15.
Anwar mendakwa saman itu melanggar pelbagai prosedur dan keperluan perlembagaan serta berkanun lain yang mandatori (other mandatory constitutional and statutory procedures and requirements) yang ditetapkan untuk mencabar atau mempersoalkan keputusan pilihan raya.
“Saman itu dimulakan untuk tujuan tidak wajar atau cagaran (improper and/or collateral purposes), termasuk untuk mendapatkan ‘political mileage’, mengekalkan relevansi politik atau untuk menganggu defendan (Anwar). Selain itu, saman tersebut perlu dibatalkan serta-merta kerana tidak berasas (obviously unsustainable), tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah, remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya dalam permohonan tersebut.
Pada Ogos lepas, Waytha Moorthy memfailkan saman pemula bagi mendapat perisytiharan bahawa pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 2022, adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidah sah.
Waytha Moorthy itu memfailkan saman tersebut di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil pada melalui Tetuan Karthig Shan dan menamakan Anwar sebagai defendan tunggal.
Waytha Moorthy menyatakan, Anwar disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara melebihi setahun, yang menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.
Kemudian pada 14 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan media memaklumkan tidak timbul sebarang isu kehilangan kelayakan Anwar sebagai Ahli Dewan Rakyat dan Perdana Menteri, hal itu berikutan Perintah Pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-15 menyatakan bahawa Anwar telah diberikan pengampunan sepenuhnya dan dianggap sebagai seorang yang tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan.
AGC berkata asas kepada tindakan Waytha Moorthy tersebut adalah pengampunan yang telah diberikan kepada Anwar tidak mengandungi sebarang pembatalan terhadap kehilangan kelayakan Anwar di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.
“Sebarang cabaran terhadap pemilihan seseorang Ahli Parlimen seharusnya melalui petisyen pilihan raya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan dan hendaklah difailkan dalam tempoh sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE