BAYANGKAN aroma piza panas yang baru keluar dari ketuhar kayu api, bunyi doh garing apabila dipotong, dan senyuman pelayan yang menyambut anda dengan mesra.
Itu merupakan salah satu tarikan buat pengunjung yang menjamu selera di Pizzaiolo Kuala Lumpur by Tiffin 55 (Pizzaiolo).
Dengan slogan menarik ‘Pizza, Pastri, Kesempurnaan’, Pizzaiolo yang dibuka secara rasmi pada 16 Ogos lalu bukan sekadar tempat makan, sebaliknya ia sebuah pengalaman menarik.
Menurut pemiliknya, Aniq Danial Johari, 28, dari luar, ruangnya tampak moden dan santai, namun sebaik melangkah masuk, pelanggan akan disambut oleh suasana hangat dengan bau harum roti serta kayu api yang membangkitkan nostalgia klasik Itali.
Idea membuka Pizzaiolo adalah disebabkan minatnya terhadap dunia kulinari, selain ingin membawakan pengalaman rasa autentik piza kepada orang ramai.
“Apa yang membuatkan Pizzaiolo begitu istimewa adalah cara kami menghormati seni pembuatan piza.
“Setiap keping piza diuli, disapu sos dan ditabur topping, sebelum dibakar sempurna dalam ‘Ketuhar Adella’ iaitu ketuhan kayu api khas yang cukup besar.

“Besarnya boleh dikatakan sebesar sebuah kereta Axia G Spec,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di Pizzaiolo, Seksyen 5 Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, apa yang menarik, pihaknya menggunakan kayu pokok manggis sebagai bahan bakar bagi memberikan aroma unik dan rasa berbeza berbanding di tempat lain.
Buat penggemar sesuatu yang mewah, restoran ini menawarkan piza wagyu istimewa yang merupakan resipi ciptaan sendiri.
Gabungan doh nipis, daging lembut berjus dan keju cair benar-benar satu pengalaman gastronomi yang mengujakan.
Selain piza wagyu, terdapat menu piza lain yang boleh dicuba seperti margherita, pepperoni alla fiamma, Napoli 55, diavola, garlic moon, marinara, special Arabic pizza dan fettina di pollo.
Menariknya, semua itu ditawarkan dengan harga berpatutan kerana makanan hebat harus dinikmati oleh semua orang, bukan hanya golongan tertentu.

“Selain menu piza, Pizzaiolo juga terkenal dengan pencuci mulut terutama tiramisu kami yang wajib dicuba.
“Tiramisu kami merupakan resipi autentik dengan lapisan krim mascarpone lembut, serbuk koko halus, dan kopi yang meresap sempurna.
“Setiap suapan seperti membawa anda terus ke jalan-jalan romantik di Rome,” ujarnya.
Bagi yang inginkan menu lain, pelanggan boleh mencuba aneka pastri dan kek yang dihasilkan segar pada setiap hari.
Selain makanan, ruang dalaman Pizzaiolo direka dengan teliti untuk mencipta suasana mesra dan santai.
Pencahayaan lembut, aroma kayu api dan muzik latar yang tenang menjadikannya tempat sempurna untuk berkumpul bersama keluarga, rakan-rakan atau pasangan.
Restoran itu juga sesuai untuk makan malam santai atau sesi lepak hujung minggu bersama rakan-rakan kerana suasananya cukup ‘Instagrammable’ dan selesa.














