BALING – “Harapan kami agar ayah dijumpai segera dalam keadaan selamat.” Demikian kata Muhamad, 65, anak kepada warga emas, Abd. Razak Abd. Rahman, 88, yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Batu 7, Jalan Kroh, di sini pagi semalam.
Menurut lelaki itu, penduduk kampung berusaha mencari bapanya di kawasan sekitar sejak semalam namun masih gagal menemui warga emas tersebut yang mempunyai masalah ingatan disebabkan faktor usia.
Katanya, kejadian seperti itu pernah berlaku sebelum ini, tetapi penduduk kampung yang menemui Abd. Razak segera menghantarnya pulang ke rumah.
“Biasanya kalau ayah keluar ke kedai atau berjalan di sekitar kampung, dia akan pulang. Orang yang pergi menunaikan solat subuh semalam beritahu ayah tidak ke masjid,” katanya ketika ditemui hari ini.
Kosmo! Online sebelum ini Abd. Razak yang berketinggian 140 sentimeter, berat 50 kilogram, berambut putih, bulu kening halus, janggut dan misai putih dan badannya bongkok dilaporkan hilang sejak pukul 8 pagi semalam. – KOSMO! ONLINE