PETALING JAYA – Rawatan awal vaksin sebagai pencegahan jangkitan influenza lebih baik terutama selepas semakin ramai bergejala akibat kekerapan hujan yang berlaku sehingga memenuhi wad klinik dan hospital.
Menerusi perkongsian pakar pediatrik, Dr Syed Khaliq di TikToknya @Drsyedkhaliq, menyatakan jangkitan kuman daripada respiratori itu membimbangkan orang ramai terutama yang belum mengambil vaksin Oseltamivir.
“Tidak semua kes influenza perlu dimasukkan ke wad, bermakna ada kes yang boleh dirawat di rumah sahaja. Ubat antiviral (Oseltamivir) pula tidak wajib untuk semua pesakit.
“Tetapi sekiranya ubat antiviral (Oseltamivir) diberikan awal iaitu sebelum hari ketiga, demam dan gejala akan cepat reda. Hanya dua atau tiga dos sahaja diperlukan sudah mencukupi,” ujarnya.
Menurutnya, jika seorang ahli keluarga disahkan positif influenza, rawatan pencegahan akan diberikan kepada yang bergejala sahaja tanpa menunggu keputusan swab kerana lebih baik mencegah jangkitan sebelum merawat.
“Cuma perlu diingat, ubat antiviral ini agak mahal berbanding vaksin influenza yang hanya sekitar RM50. Sekiranya terjangkit, proses rawatan akan mengambil masa dan kos rawatan tinggi sekali gus mengurangkan produktiviti individu,” jelasnya.
Menjengah ke ruang komen, ramai yang mengakui vaksin perlu diambil sebelum jangkitan influenza merebak.
“Anak saya sampai terlantar dan sekarang pemegang kad orang kurang upaya sebab influenza A menyerang ke otak,” kata Ibu Aish.
“Tolong ambil vaksin Influenza, jangan takut sebab tak sama dengan vaksin Covid-19. Vaksin influenza ini sudah lama ada cuma tak ramai orang tahu,” komen @Shay
“Anak saya baru sembuh influenza A. Hari pertama anak demam tinggi sehingga suhu mencecah 38.9 darjah Celsius, terus ambil ubat antiviral,” komen @Hanieamelis
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, Kementerian Kesihatan melaporkan lonjakan mendadak sebanyak 97 kluster influenza direkodkan termasuk institusi pendidikan yang diarah tutup ekoran penularan kluster penyakit influenza. -KOSMO! ONLINE
@drsyedkhaliq Influenza. Cegah lebih baik, lebih senang, lebih murah dari rawat #drsyedkhaliq #drbabybydsk #doktorbudak #AssuntaHospital #influenza ♬ original sound – Dr Syed Khaliq