PETALING JAYA – Laungan azan subuh kedengaran buat pertama kali sejak gencatan senjata diumumkan semalam, selepas bumi Gaza diselubungi bunyi kegelapan perang.
Menerusi hantaran pengguna di TikTok @Youme_385, kedengaran azan dilaungkan dari menara masjid yang masih berdiri teguh di kawasan tersebut menyebabkan suasana hiba.
“Azan dari jantung kota Gaza pertama kali pada tahun 2025 selepas gencatan senjata,” menurutnya pada video berdurasi 8 saat itu.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan gencatan senjata antara rejim Israel dan Palestin itu mula berkuat kuasa selepas pelan damai untuk menghentikan pertempuran susulan rundingan bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Menjengah ke ruangan komen, ramai bersyukur dan mendoakan perjuangan kemerdekaan rakyat Palestin selepas dua tahun perang Gaza.
“Limpahkan pertolongan dan perlindungan kepada saudara-saudara kami di Gaza,” kata Umi.
“Harap bertahan lama keamanan di Gaza kali ini. Janganlah lalai wahai penduduk dunia untuk perjuangkan kemerdekaan mereka (rakyat Palestin),” komen @Arigato.kaiju
Selain itu, seorang rakyat Gaza di Instagram @Rahaffagha turut tular selepas mendengar laungan azan di Gaza setelah sekian lama.
Rakaman berdurasi 46 saat itu memaparkannya bersama keluarga tidak mampu menangis walaupun terharu dengan perjuangan rakyat untuk merdeka daripada jajahan Israel.
“Kami mendengar berita (gencatan senjata), namun tidak percaya dengan situasi ini. Saya harap ini kedamaian ini pengakhiran buat kami (rakyat Palestin),” menurutnya pada ruangan kapsyen.
Sehingga kini video tersebut meraih lebih 106 juta tontonan, 10.2 juta tanda suka dan 1.2 juta perkongsian. – KOSMO! ONLINE