fbpx
Ramanan

Usahawan, koperasi terima dana tambahan RM200 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta koperasi terus menerima manfaat menerusi Belanjawan 2026 yang memberi fokus kepada bumiputera, wanita B40 dan anak muda.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dalam satu kenyataan berkata, peruntukan RM1.015 bilion bukan sahaja jumlah tertinggi pernah diterima, malah mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap peranan usahawan dan koperasi dalam memacu ekonomi rakyat.

Katanya, ia meningkat sebanyak RM200.3 juta atau 24.6 peratus berbanding RM815.13 juta pada tahun lalu.

“Hampir semua kategori usahawan termasuk PMKS, koperasi, perusahaan sosial, francais dan usahawan informal akan menerima manfaat. Ia turut memberi fokus kepada golongan Bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak, wanita, B40 serta anak muda.

“Jumlah keseluruhan kemudahan pinjaman dan jaminan kerajaan kepada PMKS mencecah RM50 bilion, lebih besar daripada tahun sebelumnya dan selari dengan usaha mengukuhkan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13,” kata kenyataan itu.

Menurut Kuskop, antara inisiatif utama yang diumumkan termasuk RM20 juta bagi menambah tapak dan ruang niaga untuk peniaga kecil di Tamu Desa Sabah dan Sarawak serta pelaburan hampir RM250 juta oleh UDA Holdings Berhad bagi membangunkan tanah wakaf di Pulau Pinang dan Kedah.

Tambahnya, selain itu, SME Bank memperuntukkan RM100 juta untuk pembiayaan PMKS halal, manakala Tekun Nasional dan BSN menyediakan lebih RM2.5 bilion pinjaman mikro.

“Suruhanjaya Koperasi Malaysia turut menerima RM50 juta dana pembiayaan bagi menyokong gerakan koperasi di seluruh negara, diikuti RM200 juta pinjaman menerusi Program Jaguh Serantau SME Bank bagi membantu PKS Bumiputera menembusi pasaran eksport,” katanya.

Sementara itu, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) disalurkan RM230 juta tambahan menjadikan jumlah keseluruhan dana berjumlah RM2.9 bilion untuk manfaat lebih 300,000 usahawan.

“Kerajaan turut menyediakan RM270 juta pembiayaan melalui Bank Rakyat, SME Bank, BSN dan MARA bagi menyokong usahawan wanita, manakala RM12 juta disediakan kepada Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera untuk latihan dan bantuan perniagaan.

“Kaum India juga tidak diketepikan apabila program sosioekonomi melalui MITRA, Tekun dan AIM memperuntukkan RM220 juta, manakala Pernas menerima RM9 juta untuk pembangunan industri francais,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pelaksanaan program akan dipantau secara menyeluruh melalui Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI