PARIT – Timor-Leste akan menyertai keanggotaan ASEAN secara tetap pada 26 Oktober hadapan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berlangsung di Kuala Lumpur akhir bulan ini.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau menghadiri Program Temu Anwar di Universiti Teknologi Pteronas (UTP) di Seri Iskandar di sini hari ini.
Beliau berkata, Malaysia mendokong usaha bagi memastikan Timor-Leste menjadi anggota tetap di dalam ASEAN bahkan telah berusaha keras bagi memastikan ia berjaya dilaksanakan.
“Alhamdulillah, dengan kerjasama Kementerian Luar, pada 26 Oktober ini di Malaysia (Timor-Leste akan menjadi) anggota tetap ASEAN,” katanya ketika berucap di majlis berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Anwar menegaskan bahawa kerajaan sentiasa menyokong perjuangan Timor-Leste bagi menganggotai ASEAN secara tetap.
Bahkan, Perdana Menteri ketika mengunjungi negara itu bulan lalu turut diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan di Parlimen Timor-Leste.
Selain itu, pada sidang akhbar bersama Anwar bersama rakan sejawatnya iaitu Kay Rala Xanana Gusmao, mereka menegaskan kedua-dua negara akan memperkukuh kerjasama melibatkan pelbagai bidang termasuklah perdagangan, pelancongan, kesihatan dan pendidikan.
ASEAN kini dianggota oleh 10 buah negara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. – KOSMO! ONLINE