fbpx
Abdul Rahman Ahmad

Program Celik Madani tingkat literasi kewangan, galak orang muda melabur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Belanjawan 2026 bakal mendokong visi ke arah Malaysia yang lebih saksama dan bersedia menghadapi masa depan dengan meningkatkan taraf hidup rakyat, memacu reformasi ekonomi berterusan dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

 Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyokong semua inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, khususnya reformasi struktur yang berterusan melalui penyeragaman subsidi bersasar dengan penjimatan yang akan dilaburkan semula bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan yang lebih besar serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.

 Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, PNB amat menghargai peruntukan berterusan bagi program Celik Madani  yang bertujuan meningkatkan literasi kewangan dan menggalakkan amalan pelaburan yang bertanggungjawab dalam kalangan golongan muda Malaysia. 

“Kami juga menyambut baik peningkatan saiz dana unit amanah, Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik) dan Amanah Saham Malaysia (ASM) sebanyak lima bilion unit masing-masing, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 10 bilion unit.

“Langkah ini akan membolehkan semua rakyat mengambil langkah bermakna ke arah menjamin masa depan kewangan mereka serta membuka potensi lebih besar untuk penciptaan kekayaan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

 Penambahan saiz dana ini mengukuhkan komitmen PNB terhadap keterangkuman kewangan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia, termasuk pelabur baharu dan kali pertama Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), untuk menyertai dan mendapat manfaat daripada produk pelaburan ASNB.

 Selain itu, beliau menjelaskan, pihaknya komited untuk memainkan peranan dalam melaksanakan inisiatif berkaitan di bawah Belanjawan ini, termasuk pelaburan langsung domestik yang lebih besar oleh GLIC melalui program GEAR-uP, serta menggalakkan rakyat untuk menabung demi masa depan jangka panjang yang lebih terjamin. 

“Matlamat kami adalah untuk memastikan kemajuan ekonomi bukan sahaja mampan, tetapi turut dikongsi bersama, selaras dengan visi Kerajaan untuk membentuk masyarakat yang lebih berdaya tahan dan celik kewangan,”ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI