PETALING JAYA – Program Anak Emas hasil kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerima sambutan luar biasa dengan 7,771 akaun telah
dibuka dalam tempoh 15 Januari 2024 hingga 30 September lepas.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim berkata, pembukaan akaun itu bersamaan dengan penambahan simpanan berjumlah RM777,100.
Beliau gembira apabila pelaksanaan Program Anak Emas melalui Simpan SSPN Prime telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan sejak ia dilaksanakan.
“Tahniah kepada masyarakat Pulau Pinang kerana menjadi ‘superhero’ kepada anak-anak melalui usaha menabung secara konsisten dalam Simpan SSPN.
“Justeru, saya menyeru golongan ibu bapa di negeri ini agar merebut peluang memohon insentif melalui Program Anak Emas yang ditawarkan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim turut merakamkan penghargaan kepada Siew Khim atas komitmen yang diberikan dalam membudayakan amalan penabungan melalui Program Anak Emas.
“Adalah diharapkan agar kerjasama ini akan terus berkekalan demi kebajikan pendidikan anak-anak. Terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri atas usaha murni ini,” katanya.
Program Anak Emas merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang memberikan bantuan secara one-off berjumlah RM200 kepada bayi yang berusia dua tahun ke bawah.
Syaratnya, salah seorang ibu atau bapa kepada bayi yang dilahirkan mestilah berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai pengundi di negeri Pulau Pinang.
Menerusi inisiatif ini, sebanyak RM100 diberikan dalam bentuk pembukaan akaun atau penambahan deposit Simpan SSPN Prime, manakala baki RM100 lagi dikreditkan ke dalam akaun bank pemohon yang layak.
Bagi menguar-uarkan inisiatif Program Anak Emas, PTPTN telah mengadakan Program Sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime dan Barangan Bayi bertempat di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.
PTPTN berbesar hati memberikan sumbangan berjumlah RM10,000 untuk 50 kelahiran bayi baharu pada bulan ini.
Sumbangan ini melibatkan pembukaan atau penambahan akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM100 dan cenderahati berupa hamper barangan bayi bernilai RM100 kepada setiap penerima.
Simpan SSPN merupakan produk simpanan PTPTN yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat.
Antaranya ialah pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000.00 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin Kerajaan dan patuh syariah. – KOSMO! ONLINE