KUALA LUMPUR – Peruntukan sebanyak RM630 juta yang diumumkan kerajaan bagi memelihara khazanah alam sekitar disifatkan sebagai langkah penting dalam menghadapi cabaran perubahan iklim di negara ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, peruntukan itu menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan pembangunan negara dilaksanakan seiring dengan usaha melindungi alam sekitar dan mengurangkan kesan perubahan iklim yang semakin ketara.
“Peruntukan ini sangat penting kerana di samping kita membangunkan negara, kita juga sedang berdepan dengan cabaran perubahan iklim.
“Jika kita tidak mencari jalan penyelesaian dan tidak terlibat secara aktif mengawalnya, ia akan menjejaskan negara kita,” katanya pada sidang akhbar selepas program Kampungku Fun Walk Datuk Keramat 2025 di sini hari ini.
Menurut beliau, fenomena seperti banjir dan kemarau yang semakin kerap berlaku merupakan antara kesan nyata perubahan iklim yang perlu ditangani segera melalui pelbagai inisiatif dan program kesedaran awam.
“Kita mahu rakyat sedar betapa pentingnya menjaga alam sekitar. Peruntukan yang diberi ini akan digunakan semaksimum mungkin untuk melaksanakan program serta langkah-langkah yang dapat membantu mengurangkan kesan perubahan iklim dalam negara,” katanya.
Menurutnya, usaha menangani isu perubahan iklim bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi memerlukan penglibatan aktif semua lapisan masyarakat demi kelestarian masa depan negara.
Semalam, kerajaan memperuntukkan RM630 juta bagi tujuan perlindungan khazanah alam negara dalam Belanjawan 2026 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan belanjawan bertemakan ‘Belanjawan Madani Keempat: Belanjawan Rakyat’ berkata, peruntukan itu disediakan bagi memastikan ikhtiar melindungi khazanah flora dan fauna negara diteruskan. – KOSMO! ONLINE