PARIT – Kejayaan Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2024 yang berjaya menarik lebih 100,000 pengunjung, 86 negara dan puluhan juta nilai kerjasama terjalin perlu dikembangkan kepada peringkat nasional supaya gelombang pemikiran, kreativiti, dan inovasi tidak terhenti di ibu kota tetapi bergema hingga ke desa dan kampung.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, idea yang ditanam di Putrajaya itu mesti merebak ke seluruh negara, setiap negeri termasuk Perak.
“Visi saya jelas. Festival Idea mesti melampaui acara tahunan dan menjadi gerakan sepanjang tahun.
“Kita mahu sekolah, universiti dan komuniti desa sama-sama menjadi sebahagian daripada Gelombang Idea Nasional,” katanya dalam ucapannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah selepas itu meluncurkan Festival Idea Peringkat Negeri (FOI@Negeri), Festival Idea Negeri Perak (FOI@Perak), Majlis Institusi Pendidikan Tinggi Perak (MITP).
Beliau turut menyaksikan majlis Memorandum Persefahaman (MOU) yang melibatkan UiTM, syarikat tempatan dan Mercy Malaysia. – KOSMO! ONLINE