PEMAIN sensasi skuad Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi enggan dilabel sebagai wira selepas cemerlang membantu pasukan menewaskan Laos 3-0 dalam aksi Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027, kelmarin.
Pada perlawanan di Stadium Nasional, Vientiane itu, Arif Aiman mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri apabila meledak satu gol, manakala dua lagi jaringan disumbangkan oleh Dion Cools dan Faisal Halim.
Arif yang berusia 23 tahun mengakui gembira dapat membantu pasukan melakar kemenangan, tetapi percaya pujian wajar diberikan kepada semua pemain yang bekerja keras sepanjang 90 minit perlawanan.
“Kita boleh lihat Laos memberikan tentangan yang sengit. Kemenangan ini bukan disebabkan oleh saya semata-mata sebaliknya semua pemain sudah berikan yang terbaik.
“Secara peribadi, pasukan tidak beraksi seperti yang diharapkan dan agak bergelut kerana ia bukanlah perlawanan mudah. Namun, kita tetap berjuang memberikan seratus peratus di atas padang,” kata tonggak kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.
Kemenangan yang diraih ke atas Laos memberikan kelegaan buat peminat bola sepak negara selepas Harimau Malaya terpalit dengan kontroversi isu hukuman FIFA susulan dakwaan pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan baru-baru ini.
Keputusan ini turut menyaksikan Malaysia kekal mendahului carta Kumpulan F dengan sembilan mata maksimum selepas mengharungi tiga perlawanan.
Harimau Malaya bakal menentang negara di kedudukan ranking ke-185 itu sekali lagi pada aksi keempat peringkat Kumpulan F di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan.