KUALA NERUS – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) segera menyelesaikan proses rayuan terhadap keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu tujuh pemain warisan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, kementeriannya berharap FAM bersikap lebih telus dalam proses rayuan dengan mematuhi sepenuhnya semua garis panduan ditetapkan FIFA.
“Kita harap FAM dapat segera menyelesaikan proses rayuan dan memastikan setiap langkah yang diambil selaras dengan kehendak FIFA.
“Ketelusan amat penting bagi mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan keyakinan penyokong serta menggugat ekosistem bola sepak negara,” katanya di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Adli berkata, pendukung Harimau Malaya berhak mendapat maklumat yang jelas berhubung isu itu bagi mengelakkan kekeliruan dan persepsi negatif terhadap pengurusan bola sepak tanah air.- KOSMO! ONLINE