POPULAR, penuh glamor dan memiliki ramai peminat adalah satu kelebihan buat golongan selebriti. Justeru, ramai menggunakan peluang itu untuk membantu mereka yang memerlukan serta memulihkan dunia.
Kali ini HibGlam menyenaraikan beberapa selebriti yang peka terhadap permasalahan alam sekitar dan penderitaan manusia lain dengan berjuang menerusi gerakan, kempen, persatuan, yayasan mahupun secara perseorangan sebagai sukarelawan demi membawa perubahan lebih baik.
Maya Karin
Pelakon terkenal Malaysia Maya Karin yang popular dengan filem Pontianak Harum Sundal Malam dan Ombak Rindu aktif sebagai aktivis alam sekitar.
Sejak lebih sedekad lalu, Maya rancak memperjuangkan isu pencemaran air, penggunaan plastik dan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.
Bahkan Maya sering menjadi wajah utama kempen hijau dan menjelajah ke sekolah seluruh negara untuk mendidik generasi muda tentang bahaya sisa plastik.
“Jangan ambil kesempatan terhadap manusia, haiwan atau tumbuhan. Pelihara dan jaga bumi untuk kesenangan anak cucu kita kelak,” kata Maya dalam satu temu bual sebelum ini.
Leonardo DiCaprio
Aktor yang mencipta nama menerusi filem Titanic, Leonardo DiCaprio membawa misi jauh lebih besar di luar layar perak iaitu menyelamatkan bumi daripada kemusnahan.
Menerusi Leonardo DiCaprio Foundation, dia menyumbang lebih AS$100 juta untuk projek pemuliharaan laut, tenaga lestari dan perlindungan hidupan liar.
Dalam beberapa kempen kesedaran, DiCaprio ada menyentuh tentang isu alam sekitar seperti perubahan iklim dan perlindungan kepada spesies haiwan terancam seperti orang utan, ikan jerung dan harimau.
Keanu Reeves
Di sebalik watak John Wick, aktor terkenal Keanu Reeves antara selebriti paling rendah hati di Hollywood. Beliau sering dilihat menaiki pengangkutan awam, makan di restoran biasa dan membantu kru penggambaran dengan wang peribadinya.
Pada 2022 media melaporkan aktor itu menyumbangkan sebanyak 70 peratus daripada pendapatannya iaitu AS$31.5 juta (RM131,701,500 ) untuk penyelidikan leukimia.
Reeves memberi sumbangan itu kerana adik perempuannya, Kim telah berjuang melawan penyakit berkenaan selama lapan tahun pada masa dia mula menderma. Kim disahkan mengidap kanser darah pada 1991 dan menghabiskan satu dekad untuk melawan penyakit kronik itu.
Oprah Winfrey
Tiada siapa dapat menafikan kekuatan inspirasi Oprah Winfrey, wanita kulit hitam pertama yang menjadi jutawan hasil empayar media sendiri.
Namun di sebalik kejayaan itu, Oprah adalah lambang kemurahan hati dan empati. Beliau telah menubuhkan pelbagai yayasan termasuk
Oprah Winfrey Foundation dan Oprah Winfrey Leadership Academy for Girls di Afrika Selatan yang fokusnya memberi pendidikan kepada ratusan remaja perempuan miskin.
“Memberi adalah cara saya berterima kasih kepada dunia kerana tidak mengalah,” katanya yang pernah menjadi mangsa rogol pada usia sembilan tahun.
Program televisyen terkenal, The Oprah Winfrey Show menjadi bukti kemulian hatinya apabila pernah menghadiahkan sebuah kereta Pontiac G6 dan kad debit bernilai AS$1,000 (RM4200) kepada setiap penonton di studio.
Angelina Jolie
Aktres terkenal Hollywood, Angelina Jolie dikenali bukan sekadar bintang filem Maleficent atau pemenang Oscar, tetapi juga sebagai wakil khas Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), UNHCR.
Sejak tahun 2001, Jolie terlibat dengan 60 misi pelarian di lapangan dan telah melawat lebih 30 negara termasuk Kemboja, Afghanistan, Sudan serta Yaman.
Namun selepas dua dekad, Jolie mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatannya sebagai wakil khas UNHCR pada 2022.
Bintang Lara Croft: Tomb Raider itu bagaimanapun akan meneruskan perjuangan dalam isu hak asasi dan kemanusiaan yang lebih mencabar.
Menariknya, Jolie yang memiliki enam orang anak, termasuk tiga daripadanya berasal dari Kemboja, Vietnam dan Ethiopia.
Dia turut menubuhkan Maddox Jolie-Pitt Foundation yang memberi fokus kepada pemuliharaan alam sekitar dan pendidikan.