KUALA TERENGGANU – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bakal bertugas sebagai menteri pengiring kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, dijadual berlangsung di ibu negara 26 Oktober depan.
Katanya, beliau hanya akan mengiringi Trump sepanjang sidang kemuncak tersebut namun segala perbincangan dan perundingan berhubung pelbagai isu termasuk Gaza dengan pemimpin negara ‘Uncle Sam’ itu hanya melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin-pemimpin negara ASEAN lain termasuk Timur Laste.
“Wisma Putra akan menugaskan mana-mana menteri (sebagai pengiring) apabila pemimpin dunia datang ke negara kita.
“Kali ini, saya kena iring Presiden Amerika Syarikat (Trump) sepanjang acara (ASEAN ke-47),” katanya di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan peluncuran SMKA Sheikh Ahdul Malek sebagai Sekolah Angkat Madani Jabatan Pendaftaran Negara.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, beliau cuba membantu rundingan pembebasan wakil-wakil negara dalam dua misi kemanusiaan ke Gaza dengan menghubungi Utusan Khas Amerika Syarikat ke Timur Tengah, Steve Witkoff yang merupakan kenalannya.
Beliau berkata, usaha itu agak kecil berbanding inisiatif telah diambil Anwar dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan yang memainkan peranan lebih besar bagi membebaskan peserta Global Sumud Fotilla dan Freedom Flotilla Coalition.
“Saya tahu beliau (Anwar) menghubungi rakan-rakan sejawatnya di Arab Saudi, Mesir dan Turkiye. Begitu juga Tok Mat (Mohamad),” katanya. – KOSMO! ONLINE