NILAI – Enam peninju negara dihantar menjalani latihan di Kazakhstan selama dua minggu bermula 15 November ini sebagai persiapan terakhir menghadapi Sukan SEA Thailand, Disember nanti.
Presiden Persatuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Mohamad Iruan Zulkefli berkata, kem latihan itu menjadi medan penting buat barisan peninju negara bagi menimba pengalaman berharga.
Katanya, selain menjalani latihan di benua Asia Tengah, anak didiknya itu turut berpeluang berlatih bersama peninju berkelas dunia dari Kazakhstan, selain turut disertai wakil Uzbekistan dan Tajikistan.
“Kita tahu peninju Kazakhstan memiliki pengalaman luas di pentas Olimpik. Momentum atlet kita juga berada pada tahap baik dan sudah mencapai kira-kira 80 peratus.
“Saya harap latihan di sana dapat bantu mereka mantapkan lagi prestasi menjelang Sukan SEA nanti,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, Nurul Huda Abdullah, di sini, hari ini.
Menurut Iruan, PTM turut menjanjikan ganjaran lumayan kepada peninju yang berjaya menamatkan kemarau lapan tahun tanpa emas di temasya dwitahunan tersebut.
Pada Sukan SEA 2023 di Kemboja, skuad tinju negara membawa pulang tiga pingat gangsa menerusi Muhd. Abdul Qaiyum Ariffin (flyweight 51kg), Mohd. Ridzuan Johari (lightweight 60kg) dan Indran Rama Khrisnan (cruiserweight 86kg).
Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas tinju Sukan SEA ialah pada edisi Kuala Lumpur 2017, menerusi Muhammad Fuad Redzuan dalam kategori light flyweight (49kg). -KOSMO! ONLINE