PETALING JAYA – Seramai 32 orang pegawai tadbir awam telah menyertai Persidangan Pengurusan Tatatertib Kementerian Pertahanan (Mindef) Tahun 2025 telah diadakan di Johor Bharu, semalam.
Mindef berkata, penganjuran program itu bertujuan untuk memperkukuh kefahaman dan kesedaran kerohanian mengenai kepentingan integriti serta tatakelola yang baik dalam kalangan warga kementerian.
Jelas Mindef, persidangan anjuran Unit Integriti Mindef itu telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pertahanan, Datin Roszanina Wahab.
Sepanjang tahun ini kata Mindef, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memperkukuh budaya integriti dalam perkhidmatan awam.
“Antara inisiatif tersebut termasuklah Program Pengukuhan Integriti dalam Perkhidmatan Awam, Program Smart Integriti, serta Taklimat Pengurusan Tatatertib yang memberi tumpuan kepada peningkatan nilai etika dan akauntabiliti warga kerja pertahanan,” kata Mindef dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Mindef berkata, pihaknya turut menekankan kepentingan amalan peringatan berterusan kepada semua warga kerja agar sentiasa mematuhi peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.
“Langkah ini diambil bagi mengelakkan sebarang pelanggaran tatatertib atau tindakan perundangan yang boleh menjejaskan imej serta integriti organisasi,” ujar Mindef. – KOSMO! ONLINE