MANILA – Gempa bumi kuat bermagnitud 7.4 menggegarkan selatan Filipina hari ini dan mengaktifkan amaran tsunami di negara Asia Tenggara itu serta jirannya, Indonesia dan Palau.
Gempa berlaku kira-kira 20 kilometer dari Manay dalam wilayah Mindanao pukul 9.43 pagi (waktu tempatan), demikian menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS).
“Tsunami pemusnah dengan ketinggian ombak mengancam nyawa dijangka melanda pantai timur Filipina.
“Penduduk pesisir pantai di kawasan berisiko diminta segera berpindah ke tempat lebih tinggi atau bergerak lebih jauh ke pedalaman,” lapor Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina.
Ombak setinggi 3 meter diramalkan di kawasan terancam di Filipina dan gelombang sehingga 1 meter di Palau serta Indonesia, kata Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat.
Tiada laporan segera mengenai kemalangan jiwa, namun pihak berkuasa menjangkakan kerosakan berlaku.
Guru di bandar Compostela dekat Manay, Christine Sierte memberitahu AFP bahawa dia sedang dalam mesyuarat secara online apabila gegaran kuat bermula.
“Pada mulanya sangat perlahan kemudian menjadi lebih kuat. Itulah masa terpanjang dalam hidup saya. Kami tidak dapat keluar daripada bangunan dengan segera kerana gegaran terlalu kuat.
“Siling beberapa pejabat jatuh, tetapi mujurlah tiada siapa cedera,” katanya, walaupun sebilangan daripada 1,000 pelajar sekolah itu mengalami serangan panik dan kesukaran bernafas.
Gempa bumi terbaru itu berlaku hanya 11 hari selepas gegaran kuat bermagnitud 6.9 membunuh 74 orang dan memusnahkan atau merosakkan kira-kira 72,000 rumah di Pulau Cebu, tengah Filipina. – AFP