NAYPYIDAW – Serangan tentera Myanmar ke atas acara perayaan dan protes mengakibatkan 40 orang termasuk kanak-kanak terbunuh, kata peserta dan ahli jawatankuasa tempatan kepada AFP kelmarin.
Myanmar dilanda perang saudara sejak tentera merampas kuasa dalam kudeta pada 2021, mendorong pemberontak pro demokrasi mengangkat senjata dan bersekutu dengan kumpulan-kumpulan bersenjata etnik bagi menentang junta.
Beratus-ratus orang berkumpul di perbandaran Chaung U, tengah Myanmar untuk menyambut perayaan Thadingyut petang Isnin lalu apabila tentera menggugurkan bom menyasarkan orang awam, demikian menurut ahli jawatankuasa acara itu.
Wanita yang enggan namanya disiarkan atas sebab keselamatan itu berkata, orang ramai berkumpul untuk meraikan Thadingyut bersama demonstrasi antijunta sekitar pukul 7 malam (waktu tempatan) apabila bom yang digugurkan membunuh lebih 40 orang dan mencederakan kira-kira 80 yang lain.
“Jawatankuasa penganjur mengeluarkan amaran kepada orang ramai dan satu pertiga daripada mereka berjaya melarikan diri.
“Namun, ketika itu, seorang paraglider bermotor terbang di atas orang ramai dan menggugurkan dua butir bom di tengah perhimpunan.
“Badan kanak-kanak berkecai,” katanya kepada AFP.
Seorang penduduk Chaung U yang menghadiri acara itu mengesahkan jumlah korban sambil berkata, orang ramai berlari meninggalkan lokasi kejadian apabila menyedari terdapat paraglider terbang di ruang udara.
“Semasa saya berkata kepada orang ramai ‘tolong jangan lari’, paraglider itu menggugurkan dua butir bom,” katanya kepada AFP.
Media tempatan juga menyebut 40 orang terbunuh dalam serangan itu. – AFP