JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan aksi empat lelaki dengan selamba memanjat ke atas sebuah treler yang sedang berhenti di lampu isyarat merah bagi mencuri batang besi, lapor laman berita Detik semalam.
Kejadian berlaku di Koja, Jakarta Utara.
Dalam video tersebut, empat lelaki itu dilihat memanjat belakang treler yang ketika itu sedang berhenti.
Mereka dengan pantas mencuri beberapa batang besi dari treler tersebut sebelum turun daripada kenderaan itu dan berjalan dengan santai.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Metro Jakarta Utara, Komisioner Onkoseno G Sukahar berkata, polis menjalankan siasatan selepas kejadian itu tular di media sosial.
Polis kemudian menangkap tiga daripada empat suspek kelmarin.
“Setibanya di tempat kejadian, pegawai mengesan tiga individu sepadan dengan penerangan dalam video tular berhampiran lampu isyarat Pos 9. Mereka segera ditangkap,” kata Onkoseno.
Polis merampas beberapa barang bukti, antaranya sisa besi curi, beg galas, topi dan wang tunai sebanyak 60,000 rupiah (RM15.30) yang disyaki hasil jualan barangan terpakai. – AGENSI